Rezeki Allah Itu Luas

- 12/20/2016

Rezeki Allah Itu Luas

 



Dikurniakan tubuh badan yang sihat oleh Allah Taala adalah satu nikmat kepada manusia. Dengan nikmat tubuh badan yang sihat ini, kita mampu bekerja mencari rezeki, beriadah bersama keluarga, melakukan pelbagai aktiviti kegemaran dan macam-macam lagi.


Berusaha dengan tulang empat kerat untuk mencari rezeki yang halal dan diredhai Allah memang menjadi kewajipan kita sebagai seorang muslim yang bertakwa. Allah SWT menyeru kita agar bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki sebaik sahaja selesai menunaikan kewajipan dan tuntutan kepadaNya.


Firman Allah SWT: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).” (Surah al-Jumu’ah, ayat 10) .


Rezeki Allah itu luas…


Rezeki yang sedikit tetapi diberkati Allah adalah lebih baik dan tinggi darjatnya berbanding rezeki yang banyak tetapi tidak diberkati. Tidak menjadi soal sama ada banyak atau sedikit rezeki itu. Apa yang lebih penting adalah rezeki yang cukup. Biar sedikit asal cukup daripada banyak tapi sering tidak mencukupi. Sesungguhnya rezeki Allah itu cukup luas. Berusahalah dengan jalan sabar, tekun, bertanggungjawab dan bertawakkal kepada Allah. Kadang-kadang kita hanya pandai merungut dan meminta-minta, sedangkan kita belum cukup berusaha. Berusaha dan berdoalah, pasti Allah akan membantu kita. Namun seringkali kita berdoa kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi kehidupan seharian dirasakan tiada perubahan dan makin terhimpit. Berbaik sangkalah dengan Allah, kerana Allah pasti akan memakbulkan doa kita. Mungkin hanya masa yang menentukan, sama ada lambat atau cepat. Ada kala Allah tidak memberi seperti apa yang kita minta kerana Allah ingin memberi sesuatu yang lebih baik kepada kita.


rezeki allah luas


Rezeki Allah itu luas…


Rezeki bukan hanya dalam bentuk harta dan wang ringgit. Dianugerahkan dengan anak yang ramai juga merupakan rezeki daripada Allah. Ada sesetengah daripada kita tidak dikurniakan cahaya mata walaupun telah lama mendirikan rumahtangga. Beribu-ribu wang dihabiskan, berpuluh pakar ditemui, pelbagai kaedah digunakan tetapi masih belum berhasil. Bersyukurlah dengan nikmat dan rezeki Allah ini kepada yang telah memiliki anak. Kepada yang tiada rezeki anak, mungkin diberikan mertua yang baik. Maka kita lebih bahagia daripada mendapat anak yang liar. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.


Rezeki Allah itu luas…


Jika tiada rezeki wang ringgit dan harta benda, mungkin Allah berikan kita dengan rezeki kesihatan. Maka kita lebih gembira dengan kehidupan kita yang sentiasa sihat dan ceria. Jauh dari kerisauan untuk menjaga harta benda. Apa guna memiliki kekayaan melimpah ruah jika tubuh badan tidak sihat? Pasti tidak gembira kan?


Rezeki Allah itu luas…


Jika tiada rezeki kereta mewah, mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang memberikan masalah. Maka kita lebih bahagia dan gembira dari membayar kerosakan yang mahal.


Rezeki Allah itu luas…


Jika tiada rezeki memiliki rumah yang besar, mungkin diberikan rezeki dalam bentuk makanan yang tak pernah putus. Maka kita lebih bahagia dan gembira dari si gelandangan.


Rezeki Allah itu luas…


Jika tiada rezeki pasangan hidup yang cantik, mungkin diberikan rezeki dengan pasangan yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga. Maka kita lebih bahagia kerana mendapat teman yang menyejukkan hati dan kehidupan berkeluarga sentiasa terjaga.


Rezeki Allah itu luas…


Jika tiada rezeki jodoh, mungkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang panjang. Maka kita lebih bahagia dapat berbakti sepenuhnya pada orang tua.


Rezeki Allah itu luas…


Jika tiada rezeki pada hari ini, mungkin ada rezeki yang lebih baik pada keesokkan hari. Maka kita lebih bahagia dan gembira kerana memperolehi rezeki yang tidak dijangka.


Rezeki Allah itu luas…


Bersabar, bersyukur, berusaha, berdoa dan bertawakal. Hanya Dia Allah yang maha adil lagi maha memberi.
Sumber : http://detikislam.blogspot.co.id

Seputar Rezeki Allah Itu Luas

Advertisement
 

Cari Artikel Selain Rezeki Allah Itu Luas